Klik pada post yg popular

Wednesday, August 01, 2012


Ceritera Perjuangan

Pada tahun 1830an dua orang pegawai Inggeris, iaitu Mr. Fox dan Mr. Steel telah dibunuh di Kanowit. Pembunuhnya iaitu Sawing dan Sakalai terdiri daripada kaum Kanowit. Mengikut ceritanya kaum Kanowit telah ada mempunyai tali persaudaraan dengan kaum-kaum yang ada di Batang Balui. Oleh kerana itu, Sawing dan Sakalai melarikan diri ke hulu Batang Balui bersama-sama pengikutnya. Kebetulan pada masa mereka sampai di Nanga Sama, Sawing dan Sakalai serta pengikut-pengikut bertemu dengan sekumpulan besar kaum Kayan yang diketuai oleh Lake' Havit yang baru berpindah dari Batang Kayan di Kalimantan. Mengikut cerita Lake' Havit mempunyai kaki sebelah kiri yang cacat tetapi tegas dan mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan masyarakat di hulu Batang Balui. Dengan kesempatan ini Sawing dan Sakalai merayu perlindungan daripada Lake'Havit. Lake'Havit telah menerima rayuan ini sebab dia telah mendapat bantuan daripada kaum-kaum lain yang ada sekitar kawasan Batang Balui. Apabila Rajah Brooke mendapati bahawa Sawing dan Sakalai telah berselindung di bawah jagaan Lake'Havit. Rajah Brooke menghantar pegawainya untuk berunding dan menghantarkan sebilah pedang dan sehelai bendera pemerintahan Rajah Brooke sebagai simbolik, tetapi Lake'Havit dan pengikutnya telah memilih sebilah pedang dan mengembalikan bendera. Ini bererti Lake'Havit dan pengikut-pengikutnya menentang pemerintahan Rajah Brooke. Lake'Havit dan pengikut-pengikutnya pergi ke tiap-tiap rumah panjang kaum Punan untuk mendapat sokongan bagi menubuhkan pangkatan yang kuat untuk menentang pangkatan Rajah Brooke, tetapi kaum Punan telah menolak pelawaan ini. Lake'Havit terus pergi jumpa tiap-tiap rumah panjang kaum Sekapan tetapi kaum Sekapan juga menolak pelawaan Lake'Havit. Walaupun Lake'Havit gagal memujuk Kaum Punan dan kaum Sekapan untuk menyertai angkatannya, dia terus pergi ke tiap-tiap rumah panjang kaum Kejaman. Akhirnya kaum Kejaman bersetuju untuk menubuhkan satu angkatan bergabung dengan angkatan Lake'Havit. Angkatan kaum Kejaman telah ditetapkan sebagai barisan hadapan menentang pangkatan Rajah Charles Brooke. Kononnya kaum Kejaman sudah bersiap-sedia dan sudah melatih lapan ratus lapan puluh lapan orang pahlawan yang gagah dan berani dan pandai berperang. Lake'Havit dan pangkatannya berpindah ke hulu Batang Balui sebagai pangkatan barisan belakang menentang pangkatan Rajah Charles Brooke. Mengikut cerita, semua kaum Kejaman telah berkumpul di satu tempat iaitu di Tuju Meta'ap (kawasan itu kira-kira dua kilometer dari sebelah hilir Kem Teleng Logging Sendirian Berhad sekarang). Sebelum angkatan Rajah Brooke sampai, angkatan kaum Kejaman sudah bersiap-sedia membina panggar menyediakan bermacam-macam jenis peralatan seperti lembing, tombak, parang, pedang, perisai, sumpuitan, perangkap dan peluru-peluru meriam. Pada pertengahan tahun 1836 Rajah Charles Brooke telah mengadakan Batang Balui Expedition untuk menentang penjenayah, pemberontak serta menangkap pembunuh Mr. Fox dan Mr. Steel, iaitu Sawing dan Sakalai. Rajah Charles Brooke telah membawa berbelas ribu pengikut yang terdiri daripada kaum Than daripada Batang Skrang, Layar, Julau dan Batang Baleh serta kaum-kaum lain dari sekitar sepanjang Batang Rajang. Angkatan Rajah Charles Brooke terus bergerak ke hulu Batang Rajang terus sampai ke hulu Batang Balui. Akhirnya angkatan Rajah Charles Brooke telah tiba di Tuju Batou berdekatan dengan kota angkatan kaum Kejaman di Tuju Meta'ap.

Apabila mereka tiba di Tuju Batou, Rajah Charles Brooke mengarahkan tenteranya mengibarkan bendera putih yang telah menunjukkan dia telah ingin berdamai tetapi pangkatan kaum Kejaman telah mengibarkan bendera merah yang menunjukkan angkatan kaum Kejaman hendak menentang angkatan Rajah Charles Brooke. Kedua-dua pihak telah bertempur selama lapan hari dan lapan malam dan akhirnya angkatan kaum Kejaman telah mengaku kalah. Ramai daripada kedua-dua pihak telah terkorban, malangnya kaum Kejaman telah menerima banyak kemusnahan. Ramai perempuan dan anak kecil telah dibunuh dan ditangkap serta banyak harta benda telah dirampas dan banyak rumah panjang di sepanjang Batang Balui dibakar.

Mengikut cerita ada seorang daripada pahlawan kaum Kejaman yang bernama Imem Ada' seorang yang gagah, berani serta pandai menggunakan senjata perang telah mempertahankan serangan musuh serta dapat memberi ruang bagi ibu-ibu serta anak-anak kecil dan orang-orang tua melarikan diri. Dua orang anak kepada laja levou, seorang anak lelaki bernama Sebuang Kebing dan seorang anak perempuan yang bernama Inan Joi Sukun telah ditangkap sebagai tawanan, tetapi Rajah Charles Brooke mengarahkan pengikutnya menghantar balik mereka. Inan Joi Sukun telah dibawa ke hulu Batang Balui dan ditinggalkan di Na' Lake' Dian serta ditandakan dengan sehelai bendera pemerintahan Rajah Brooke, tetapi Sebuang Kebing telah terus dibawa oleh seorang pahlawan Than dari Julau sebagai anak angkat. Rajah Charles Brooke terus ke hulu Batang Balui untuk mencari Lake'Havit dan pengikut-pengikutnya. Akhirnya Lake' Havit telah mengaku kalah dan Sawing serta Sakalai telah ditawan dan ditangkap.

No comments:

Post a Comment